2011年10月22日星期六

Garis Panduan & Kod Etika - Industri Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor


汽车维修行业指引及道德守则 
Garis Panduan & Kod Etika - Industri Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor



  1. Pendahuluan
  2. Garis Panduan Pengusaha Bengkel Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor
  3. Kod Etika Pengusahaan Bengkel Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor
  4. Garis Panduan Tanda Harga Caj Perkhidmatan
  5. Garis Pandua Tanda Harga Alat Ganti
  6. Garis Panduan Papan Tanda Penerangan Pengguna

sourced by Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.



1.0 PENDAHULUAN

Industri penyelenggaraan kenderaan bermotor merupakan industri perkhidmatan yang penting dan terbesar di Negara ini. Bertambahnya jumlah kenderaan yang didaftarkan dan jumlah pemandu berlesen dari setahun ke setahun menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan ini. Justeru itu, usaha-usaha pengawalseliaan dan pemantauan industri ini yang diseimbangkan dengan pengwujudan tatacara kerja dan perkhidmatan yang berkesan adalah diperlukan sebagai sebahagian program perlindungan pengguna.

Garis panduan dan kod etika ini bertujuan untuk membantu para pengusaha mematuhi tatacara perkhidmatan dan kriteria-kriteria yang perlu diikuti bagi tujuan mewujudkan suatu perkhidmatan yang beretika, berdisiplin dan bermaruah. Dengan ini suasana ekonomi yang sihat dan keharmonian pasaran antara pengusaha dan pengguna mampu diwujudkan.

Adalah diharapkan garis panduan dan kod etika ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengusaha agar industri ini dapat berkembang dan maju sebagai sebuah industri yang berwibawa dan moden selaras dengan tiga objektif utama garis panduan dan kod etika ini iaitu:-
  • Melindungi hak dan kepentingan pengguna,
  • Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan industri penyelenggaraan kenderaan bermotor yang beretika, dan
  • Melarang perilaku dan tatacara perkhidmatan yang bersifat mengeliru dan memperdayakan pengguna.

Garis panduan ini dikeluarkan selaras dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 dan Seksyen 150 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengeluarkan peraturan-peraturan baru berhubung dengan perkhidmatan (services) yang disediakan oleh pengusaha bengkel kepada pengguna.

Garis panduan ini berkuatkuasa mulai 1 Julai 2002. 


2.0 GARIS PANDUAN PENGUSAHA BENGKEL PENYELENGGARAAN KENDERAAN BERMOTOR

Garis panduan ini dikeluarkan khusus untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi kereta, van, motosikal dan basikal bermotor (motor assisted bicycle) yang digunakan oleh pengguna (end users). Kenderaan perdagangan (commercial vehicle) tidak tertakluk kepada garis panduan.

Sebagai usaha untuk meningkatkan program perlindungan pengguna di kalangan rakyat Malaysia dan juga meningkatkan kualiti perkhidmatan industri penyelenggaraan kenderaan bermotor supaya menjadi sebuah industri yang berwibawa, maju dan moden, maka Garis Panduan seperti berikut hendaklah dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha bengkel:
  1. Pengusaha bengkel hendaklah mempamerkan tanda (sign) di tempat juruwang atau tempat-tempat yang sesuai iaitu: 
    a) Memberitahu pengguna tentang hak-hak mereka dalam mendapatkan perkhidmatan, iaitu:
    i. Anggaran (Estimate) bertulis bagi kerja-kerja membaiki kenderaan.
    ii. Invois terperinci kerja yang dijalankan dan alat ganti yang ditukar serta kos keseluruhan.
    iii. Memulangkan alat ganti lama yang telah ditukar kepada pengguna jika diminta berbuat demikian.
    iv. Mendapatkan kuasa (authorisation) dari pengguna untuk menjalankan kerja-kerja tambahan dan menyatakan tambahan kos yang dikenakan.
    b) Mempamerkan nombor telefon Bahagian Penguatkuasa, KPDN & HEP di mana aduan boleh disalurkan.
    c) Contoh papan tanda, sila rujuk Garis Panduan Papan Tanda Penerangan Pengguna.
  2. Mendapatkan persetujuan (consent) bertulis daripada pengguna bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang akan dilakukan.
  3. Memberitahu pengguna jenis alat ganti yang perlu ditukar sama ada baru,reconditionedrebuilt atau second hand dan sebagainya.
  4. Membenarkan Pengguna memeriksa dan mendapatkan semula alat ganti yang telah ditukar.
  5. Memberitahu tempoh / masa penyelenggaraan membaiki kenderaan.
  6. Memberikan jaminan perkhidmatan kepada pengguna, jika ada iaitu jaminan kerja penyelenggaraan (service warranty) dan jaminan alat ganti (spare part warranty).
  7. Memberitahu pengguna tentang hak untuk mengetahui caj perkhidmatan dan harga alat ganti.
  8. Mempamerkan senarai caj perkhidmatan mengikut kemahiran yang dimiliki oleh pengusaha, sila rujuk Garis Panduan Tanda Harga Caj Perkhidmatan.
  9. Mempamerkan tanda harga ke atas alat ganti dan menyenaraikan harga alat ganti yang dijual di bengkel, sila rujuk Garis Panduan Tanda Harga Alat Ganti.
  10. Senarai harga alat ganti hendaklah diasingkan mengikut alat ganti tulen,reconditionedrebuiltsecond hand dan sebagainya.
  11. Mengeluarkan satu invois dengan buti-butir harga alat ganti dan caj perkhidmatan di ruangan yang berasingan.
  12. Menyediakan kemudahan pelanggan yang baik dan bersih seperti kemudahan sanitasi dan tempat menunggu.
  13. Menjaga kebersihan alam sekitar iaitu membuang semua sisa alat ganti dan sisa minyak / cat / coolant ke tempat yang sesuai yang diwajibkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan.


3.0 KOD ETIKA PENGUSAHAAN BENGKEL PENYELENGGARAAN KENDERAAN BERMOTOR

Pengusaha hendaklah mematuhi kod etika seperti berikut:
  1. Berwibawa / Integrity 
    Menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan jujur, berdisiplin, bertanggungjawab dan bermaruah supaya kewibawaan industri terpelihara.
  2. Kecekapan / Efficiency 
    Menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan cekap, cara yang selamat, berkualiti dan harga perkhidmatan yang kompetitif serta memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna.
  3. Telus / Transparent 
    Mengetahui hak-hak pengguna, berkomunikasi dengan jelas dan telus kepada pelanggan serta memastikan perkhidmatan yang diberikan difahami. Berusaha membetulkan kepincangan dalam industri ini dan mengelakkan iklan-iklan yang boleh mengelirukan serta memperdayakan pengguna.
  4. Pematuhan / Compliance
    Mematuhi semua garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, serta peraturan-peraturan dan undang-undang yang ditetapkan seperti Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta undang-undang yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan.
  5. Persaingan / Competition
    Memastikan persaingan yang adil, sihat dan terbuka supaya keharmonian pasaran dapat diwujudkan.
  6. Profesionalisma / Professionalism
    Memberikan perkhidmatan secara profesional serta meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan malalui kemajuan kerjaya di kalangan kakitangan dengan tujuan mengekalkan / mewujudkan mutu yang tinggi dalam profesion ini.
  7. Pro-aktif / Pro-active
    Bersikap pro-aktif kepada tindakbalas terhadap perubahan-perubahan di dalam teknologi dalam industri ini dan perubahan kepada perundangan.
  8. Menghormati / Respect
    Mewujudkan hubungan baik antara pengguna dan pihak industri dengan cara melayani semua pengguna dengan saksama tanpa mengira bangsa, umur dan jantina serta bersikap sopan dan mesra pengguna (consumer friendly).
  9. Alam Sekitar / Environment
    Komited dalam menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan bengkel bagi faedah masyarakat.


4.0 GARIS PANDUAN TANDA HARGA CAJ PERKHIDMATAN

  1. Pengusaha bengkel perlulah mempamerkan tanda harga caj perkhidmatan yang dikenakan di tempat yang senang dilihat oleh pengguna sama ada melalui papan tanda, fail atau folder.
  2. Bagi bengkel yang menjadi authorised dealer atau franchise dealer, sekiranya caj-caj perkhidmatan bagi semua jenis perkhidmatan terlalu banyak hendaklah dimasukkan di dalam program komputer yang diletakkan di tempat yang mudah dilihat / diakses oleh pengguna.
  3. Sekiranya dinding bengkel mempunyai ruang yang luas dan besar, caj perkhidmatan digalakkan dipamerkan di dinding.
  4. Pengusaha bengkel perlulah mempamerkan caj-caj perkhidmatan bagi perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna. Perkhidmatan atau kerja-kerja yang tidak disediakan tidak perlu dipamerkan caj perkhidmatan.
  5. Pengusaha perlulah mempamerkan secara berasingan caj perkhidmatan bagi perkhidmatan kecil (minor service) dengan perkhidmatan membaiki (repair service). Sebagai contoh:
    i. Perkhidmatan kecil (minor service)
    a) Tukar minyak enjinRM v
    b) Tukar oil filterRM x
    c) Tukar air filterRM y
    d) Tukar coolantRM z

    ii. Perkhidmatan membaiki (repair service / major service)
    a) Overhaul engineRM p
    b) Mengganti fuel injectorRM q
    c) Membaiki drive shaftRM r
    d) Service Automatic TransmissionRM s
  6. Senarai caj perkhidmatan dibuat mengikut tajuk kerja-kerja utama dan kerja-kerja yang berkaitan dengannya.
  7. Harga caj perkhidmatan dan harga alat ganti hendaklah diasingkan di dalam invois yang dikeluarkan kepada pengguna apabila bayaran dibuat.
  8. Memberitahu pengguna tempoh jaminan perkhidmatan (service warranty) dengan cara bertulis.


5.0 GARIS PANDUAN TANDA HARGA ALAT GANTI

  1. Bengkel-bengkel yang menjadi stokis dan menjual alat ganti kenderaan perlu meletakkan tanda harga di atas alat ganti dan menyenaraikan tanda harga melalui fail atau folder untuk diakses oleh pengguna.
  2. Hanya alat ganti yang dipamerkan atau hendak dijual perlu diletakkan tanda harga. Bagi alat ganti yang disimpan di stor, tidak perlu diletakkan tanda harga tetapi harga alat ganti itu perlu dimasukkan di dalam fail / folder untuk diakses pengguna.
  3. Bengkel-bengkel yang tidak menjual alat ganti tidak perlu mempamerkan / menyenaraikan harga alat ganti.
  4. Harga yang dijual oleh pengusaha bengkel perlulah harga bersih (nett price) yang difikirkan wajar dijual kepada pengguna dan bukan listed price.
  5. Bengkel-bengkel franchise dealer atau authorised dealer yang menjual harga alat ganti perlu menyenaraikan / mempamerkan harga yang diluluskan oleh pengeluar. Harga yang dijual kepada pengguna hendaklah harga besih (nett price).
  6. Bengkel-bengkel yang menjadi franchise dealer atau authorised dealer, sekiranya bilangan alat ganti terlalu banyak, penggunaan komputer yang mengandungi maklumat harga alat ganti boleh digunakan dan dipamerkan untuk diakses oleh pengguna.
  7. Senarai harga alat ganti tulen, atau alat ganti reconditionedrebuilt dansecond hand hendaklah diasingkan. Butiran alat ganti hendaklah dinyatakan:
    a) Nama Alat Ganti
    b) Serial Nombor
    c) Model Kereta
    d) Harga Bersih
    e) Nama Pengeluar
  8. Harga alat ganti yang dijual oleh kedai alat ganti kenderaan juga hendaklah harga bersih (nett price) dan bukan list price.
  9. Memberitahu tempoh jaminan alat ganti (spare part warranty) yang dijual kepada pengguna dengan cara bertulis.
  10. Adalah menjadi tanggungjawab pengusaha bengkel dan penjual alat gantikenderaan memaklumkan kepada pengguna tentang alat ganti yang diperlukan sama ada alat ganti tulen atau sebaliknya.


6.0 GARIS PANDUAN PAPAN TANDA PENERANGAN PENGGUNA (CONSUMER SIGN OF INFORMATION)

Bagi menjamin pengguna mendapat perkhidmatan yang berkualiti, para pengusaha bengkel perlulah memberitahu pengguna mengenai hak-hak mereka semasa mendapatkan perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan keperluan di bawah program perlindungan pengguna di mana pengusaha perlu mempamerkan papan tanda mengenai hak-hak tersebut di tempat juruwang atau di tempat yang menarik dan mudah dilihat, sila rujuk contoh papan tanda di Lampiran 1A.

Papan tanda penerangan pengguna perlulah dibuat mengikut spesifikasi yang ditetapkan seperti di Lampiran 2.

Papan tanda penerangan pengguna mestikalh mengandungi nama cawangan dan nombor telefon Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna mengikut negeri di mana lokasi bengkel terletak. Contoh seperti diLampiran 1B. Alamat cawangan-cawangan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna adalah dihttp://www.kpdnkk.gov.my.

Setiap pengguna bengkel adalah diwajibkan menyediakan papan tanda penerangan ini sepertimana diperlukan di bawah Motor Vehicle Repair Act apabila ianya dikuatkuasakan kelak. 


sourced by Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.




<< Back to 

没有评论:

发表评论